Bagaimana Ingin Menjadi Pelajar ‘Straight’ A?

12003152_1491722954480396_6310871281069520487_n

Assalamualaikum adik-adik pelajar,

Jika adik-adik sedang tertanya-tanya bagaimana mereka (senior-senior yang cemerlang di dalam SPM lepas) melakukannya, teruskan membaca! Cikgu akan cuba menjawab persoalan tersebut daripada pengalaman diri sendiri , sebagai sahabat kepada ramai rakan-rakan setingkatan yang lebih cemerlang dan konsisten daripada diri cikgu sendiri dan  sebagai guru yang banyak berinteraksi dengan pelajar-pelajar yang cemerlang dan kurang cemerlang.

Daripada berbagai-bagai faktor yang menyumbang kepada keputusan ‘straight’ A seseorang pelajar, latar belakang ekonomi keluarga sesungguhnya bukan salah satu daripadanya. Cikgu mempunyai ramai sahabat yang menjadi pelajar terbaik yang daripada keluarga miskin dan juga kaya. Jadi, ini bermakna setiap orang LAYAK dan mampu untuk menjadi pelajar ‘straight’ A, tanpa mengira keluarga miskin ataupun kaya!

Tetapi, untuk menjadi pelajar ‘straight’ A bukan juga sesuatu yang mudah. Antara langkah-langkah dan pengorbanan yang perlu dilakukan:

1. Menetapkan Matlamat Yang Jelas dan Bertulis

Matlamat yang tidak jelas dan tidak bertulis hanyalah satu angan-angan. Langkah pertama ini adalah sangat penting, kerana ianya menjadi GPS memandu arah segala tindakan seharian adik-adik sebagai pelajar untuk mencapai ‘straight’ A. Jika adik-adik belum mempunyai matlamat yang jelas dan bertulis, berhenti sejenak dan fikirkan tentangnya. Ambil sekeping kertas kosong, dan tulislah matlamat diri adik-adik. Apakah matlamat itu? Sudah tentu untuk MENCAPAI A bagi SEMUA subjek di dalam SPM nanti! Tulis dengan besar dan jelas, dan tampal di dinding tempat belajar, sebelah katil dan di pintu bilik. Pastikan adik-adik membacanya setiap hari apabila bangun daripada tidur, sebelum keluar ke sekolah, setelah pulang daripada sekolah, dan sebelum tidur. Teknik ‘self affirmation’ sebegini adalah kunci untuk memprogram minda agar berfikir dan bertindak selari dengan matlamat. Jika selepas ini rasa malas, dengan membaca matlamat tadi semangat untuk belajar kembali kuat dan berterusan.

2. Mencari Kenapa atau Untuk Siapa?

Kenapa adik mahu mendapat ‘straight’ A? Untuk siapa? Mempunyai sebab MENGAPA dan UNTUK SIAPA yang kukuh adalah kunci menanam disiplin diri yang teguh dalam melakukan rutin harian sebagai pelajar ‘straight A’. Sebagai manusia biasa, tahap motivasi diri kita sentiasa berubah-rubah. Ketika penuh bermotivasi (contoh selepas balik daripada kem motivasi oleh pakar motivasi hebat anjuran pihak sekolah), adik-adik pastinya mampu belajar berterusan berjam-jam dengan tekun dan tanpa fikiran merewang jauh. Bagus! Tetapi selepas beberapa hari berlalu, tahap motivasi semakin menurun. Jadi bagaimana? Mempunyai sebab yang mendalam (mengapa) pasti membantu ketika itu. Apakah sebab yang kuat yang boleh mengekalkan motivasi adik-adik? Sebagai contoh, ingin mendapatkan biasiswa dan tempat melanjutkan pelajaran di luar negara! Ya, peluang untuk belajar di luar negara adalah keistimewaan yang sungguh besar bagi seseorang pelajar. Tinggal di tempat asing, menikmati iklim empat musim, belajar budaya asing dan rakan-rakan dari seluruh dunia. Wow! Di Malaysia, peluang sebegini adalah terbuka luas untuk pelajar ‘straight’ A. Cikgu sendiri mendapat dua tawaran biasiswa untuk belajar di UK (kursus perubatan oleh JPA) dan USA ( kursus kejuruteraan oleh MARA) selepas mencapat ‘straight’ A di dalam SPM (tetapi mengambil keputusan menyambung belajar di MMU dengan biasiswa TM). Adik-adik juga mampu, tanamkan azam dan matlamat yang jelas untuk mendapat keputusan ‘straight’ A dan menyambung pelajaran ke luar negara!

3. Persediaan Awal dan Berterusan

Daripada pengalaman dan pemerhatian cikgu, di antara ciri-ciri yang dimiliki oleh pelajar ‘straight’ A adalah membuat persediaan sejak awal dan secara konsisten. Awal bagaimana? SETAHUN awal! Jika adik-adik kini di dalam Tingkatan 4 dan bakal menduduki peperiksaan SPM pada Nov 2016, kini adalah masa yang sesuai untuk bermula. Sekarang! Apakah persediaan yang perlu di lakukan?

Memastikan semua silibus Tingkatan 4 adalah jelas dan dikuasai sepenuh sebelum memasuki Tingkatan 5. Jika perlu, dapatkan bantuan daripada guru-guru di sekolah mahupun guru-guru persendirian di luar. Yang utama adalah JANGAN melangkah ke tahun 2016 dengan topik-topik Tingkatan 4 masih tidak dikuasai sepenuhnya. Menguasai bagaimana? Menguasai di dalam erti kata memahami konsep/teori asas, mampu menjawab soalan-soalan latihan biasa dan mampu menyelesaikan soalan-soalan kesukaran standard peperiksaan sebenar! Ya, MAMPU MENJAWAB SOALAN PEPERIKSAAN SEBENAR sejak di Tingkatan 4 lagi! Inilah sebabnya, di dalam setiap kelas yang cikgu ajar, cikgu terus menitikberatkan latihan menggunakan soalan sebenar. Sebagai persediaan awal mental dan fizikal diri pelajar apabila melangkah ke dewan peperiksaan sebenar setahun mendatang. Pelajar yang sudah terbiasa dengan soalan peperiksaan sebenar, berlatih dengannya sejak setahun yang lalu, pasti tidak akan sukar untuk mendapat A bagi subjek tersebut. Tiada kejutan, tiada perlu hanya mengharap soalan ‘senang’ yang keluar.

4. Beri dan Ajar kepada Orang Lain, Pasti Dibalas Dengan Kefahaman dan Rezeki Luar Biasa

Belajar secara bersendirian adalah salah satu cara yang kebanyakan pelajar ‘normal’ lakukan. Ingin tahu ‘jalan pintas’ untuk menjadi pelajar cemerlang? Belajar dan mengajar! Satu pengalaman menarik yang cikgu pelajari daripada seorang sahabat di SMAP Labu (SPM 1999) bernama Ridzuan. Beliau adalah seorang pelajar daripada latar keluarga bukan berada. Beliau adalah satu-satunya pelajar yang mengekalkan 10A1 di dalam setiap peperiksaan sejak awal. Apakah keistimewaan beliau? Beliau belajar seperi rakan-rakan lain sahaja, cuma beliau meluangkan sebahagian besar masa belajar (‘prep’) untuk mengajar rakan-rakan yang bertanya. Setiap hari, dengan senyuman dan murah hati. Tidak pernah menolak sesiapa yang bertanya, walau sesibuk manapun diri sendiri. Wow! Dengan mengajar, seseorang mendapat kefahaman lebih mendalam. Paling penting, rahmat dan keberkatan Allah kepadanya, bantuan daripadaNya untuk hamba-hamba yang selalu membantu manusia lain.

Pengalaman diri sendiri cikgu juga adalah sama. Di universiti semasa melanjutkan pelajaran di dalam kursus kejuruteraan peringkat ijazah yang terkenal dengan berbagai-bagai tugasan dan sangat sibuk, cikgu adalah seorang yang sangat aktif di kampus. Walaupun pernah memegang jawatan sebagai Presiden Majlis Perwakilan Pelajar dan berbagai-bagai jawatan lain, cikgu sentiasa meluangkan masa untuk mengajar rakan-rakan yang memerlukan bantuan semasa kami belajar bersama-sama. Cikgu juga menjadi sukarelawan mengajar matematik kepada adik-adik pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Beruang (sekolah angkat setiap hujung minggu), dan mengajar komputer di Rumah Anak Yatim Sungai Udang, Melaka. Cikgu dapat merasai sendiri kebenaran janji Allah, iaitu bantuan daripadaNya kepada hamba yang membantu manusia lain. Cikgu berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan yang agak cemerlang dan memperoleh tawaran kerja waktu di tahun akhir lagi (sebelum tamat pengajian). Jadi sebagai pengajaran yang ingin dikongsi dengan adik-adik, carilah peluang untuk berkongsi dan mengajar rakan-rakan di sekolah, Insya Allah semoga jalan untuk adik beroleh ‘straight’ A terbuka lebih luas.

Secara kesimpulan, untuk menjadi pelajar ‘straight A’ iaitu pelajar yang terbaik di sekolah dan negara, memerlukan persediaan mental dan fizikal yang secukupnya. Jika adik-adik sedang berada di Tingkatan 4, ini adalah masa untuk bermula. Cubalah untuk melaksana 1 hingga 4 di atas, untuk diri adik sendiri. Kita semua mempunya potensi dan kebolehan yang cukup untuk menjadi pelajar ‘straight’ A, cuma persoalannya, adakah kita mahu?

Coretan ringkas,
Cikgu Aizuddin Yusoff
http://www.aizuddinyusoff.com

4 thoughts on “Bagaimana Ingin Menjadi Pelajar ‘Straight’ A?

Leave a reply to maymyk82 Cancel reply