7 Langkah Menjadi Pelajar Hebat Matematik SPM

1. Ketika guru mengajar di kelas, berilah sepenuh perhatian kepada apa yang guru ajarkan. Pastikan anda memahami segala-gala yang diajar oleh guru anda. Jika anda tidak faham sebarang topik, bertanyalah terus kepada guru atau kawan-kawan dengan serta-merta(ketika kelas berlangsung) atau pada hari yang sama apabila keadaan mengizinkan. Sikap suka bertangguh-tangguh untuk bertanya apabila tidak faham adalah punca utama kenapa pelajar semakin sukar mengikuti subjek tersebut, dan seterusnya menyebabkan kehilangan minat untuk menguasainya.

Ketika penulis bersekolah di SMAP Labu 16 tahun yang lepas, budaya bertanya guru dengan serta-merta adalah sangat tebal di kalangan pelajarnya. Jika kelas tamat dan masih ada soalan belum terjawab, para pelajar akan terus ‘memburu’ guru hingga ke bilik guru bagi mendapatkan jawapan. Di bilik guru, pelajar bebas keluar masuk untuk bertanya soalan dan berbincang dengan guru masing-masing. Budaya sebegini menjadikan sekolah tersebut di antara yang terbaik di Malaysia.

2.Setiap pelajar memerlukan beberapa buah buku rujukan kerana buku teks semata-mata adalah tidak mencukupi. Saya mencadangkan pelajar menggunakan buku rujukan SPM Matematik Matematik Tambahan ‘Success’ oleh Oxford Fajar dan Analisis Matematik/Matematik Tambahan oleh Pelangi. Kedua-dua penerbit buku ini, pada pendapat penulis, adalah yang terbaik di pasaran (lihat gambar).

Malah ketika penulis sendiri bergelar pelajar SPM 16 tahun yang lepas, buku Analisis Pelangi berwarna Merah adalah buku belajar utama. Soalannya terdiri daripada tiga aras kesukaran berbeza; senang, standard SPM dan mencabar. Aras pertama untuk membantu memahami asas-asas sesuatu topik, aras kedua untuk membiasakan diri dengan format dan kesukaran peperiksaan SPM sebenar, dan yang paling menarik adalah aras kesukaran ketiga (‘challange yourself’) iaitu kenikmatan dan keseronokan menguji diri sendiri dengan soalan yang betul-betul mencabar! Kebanyakkan buku rujukan lain tidak mempunyai soalan aras tinggi sebegini.

3. Apabila mengulangkaji sesuatu bab baru buat pertama kalinya, pelajar hendaklah membaca nota-nota di dalam buku rujukan dahulu. Pastikan pelajar memahami konsep bab itu dan cuba menghubungkan dengan apa yang telah diajar oleh guru di sekolah.

4.Pelajar perlu tahu bagaimana untuk menggunakan apa yang telah dipelajari untuk menyelesaikan soalan-soalan latihan. Perhati semua soalan contoh di dalam buku rujukan. Pastikan bahawa anda faham bagaimana setiap soalan ini diselesaikan, langkah demi langkah. Jika tidak faham, segeralah bertanyakan kepada guru, rakan-rakan atau dapatkan bantuan melalui internet (Youtube/ forum/ Facebook group dll).

5. Kemudian, pelajar perlu melakukan banyak latihan. Belilah buku-buku latihan tambahan jika perlu. Anda boleh bermula dengan membuat soalan-soalan topikal (topik demi topik). Apabila anda telah memahami semua topik, teruskan dengan melakukan kertas ujian model SPM, soalan percubaan tahun-tahun lepas dan paling penting, soalan SPM beberapa tahun ke belakang (lihat gambar). Semua set soalan di atas seharusnya boleh diperoleh di kedai-kedai buku berdekatan. Selepas melakukan latihan ini, rujuklah kepada jawapan yang diberikan, termasuk dengan pembahagian markah yang sewajarnya (jika ada). Di sini, buku Analisis Pelangi sangat membantu kerana buku tersebut dibekalkan dengan ‘worked solution’ yang lengkap di dalam CD-ROM bersama-sama buku tersebut.

6. Apabila melakukan ulangkaji sebelum menduduki peperiksaan, anda sekali lagi perlu melihat sepintas lalu soalan-soalan contoh bagi semua bab dalam buku rujukan. Jika anda terlupa konsep mana-mana topik, ulanglagi dan teliti balik nota di dalam buku rujukan untuk bab itu.

7. Kertas Matematik SPM juga akan menguji beberapa topik daripada Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 , selain daripada topik Tingkatan 4 dan Tingkatan 5. Jadi pastikan anda jangan lupa topik tersebut. Buku rujukan Matematik SPM ‘Success’ oleh Oxford Fajar mengandungi beberapa contoh soalan untuk Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3, jadi anda juga perlu meneliti dan mengulangkaji topik-topik tersebut jika telah terlupa.

7 langkah di atas adalah hasil pengalaman penulis sebagai pelajar dan guru. Jika seseorang pelajar mengikut sepenuhnya panduan di atas, Insya Allah, A hatta A+ adalah di dalam jangkaun. Usaha, doa dan tawakal adalah jalannya.

Aizuddin Yusoff
www.aizuddinyusoff.com

001. Muka Depan

DSC_0801

Leave a comment